Tuesday, January 04, 2011

Kebaikan Susu Ibu :)

KEBAIKAN SUSU IBU

Susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi. Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi dari penyakit, mengandungi antibodi, faktor tumbesaran, enzim dan tiada pencemaran.

Contohnya bagi bayi yang dilahirkan pra-matang, susu ibu yang dihasilkan sesuai untuk perkembangan bayi tersebut. Ia kurang laktosa, lebih protein, Laktoferrin dan Imunoglobulin untuk mencegah alahan dan jangkitan.

Susu awal ibu atau dikenali sebagai kolostrum yang berwarna kekuningan pula adalah makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan. Antaranya ialah mengeluarkan mekonium (najis bayi di awal kelahiran), mencegah penyakit kuning (jaundis), melindungi bayi dari jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus sekaligus mencegah alahan dan bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus.

Jika bayi diberikan makanan lain sebelum dia diberikan kolostrum, makanan tersebut boleh merosakkan ususnya dan menyebabkan alahan. Selain itu susu ibu juga melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis, dan cirit-birit. Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari. Selain itu susu ibu turut mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.

FAEDAH TERSEMBUNYI

Terdapat banyak faedah lain yang diperolehi oleh bayi, ibu, keluarga mahupun masyarakat. Mungkin kebaikan-kebaikan ini nampak remeh tetapi ia sebenarnya memberikan kesan kepada kehidupan kita seharian.

Kajian menunjukkan IQ bayi yang menyusu susu ibu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu ibu.

Bayi yang menyusu ibu akan jarang dijangkiti penyakit, membolehkan ibu bapa bekerja dengan senang hati tanpa perlu mengambil cuti untuk menjaga anak yang tidak sihat, selain meningkatkan produktiviti.(insyaallah, smoga anak kita sentiasa sihat :P)

Menyusukan bayi juga turut memberikan faedah kepada ibu tersebut dengan merendahkan risiko terhadap barah payudara dan ovari, mengelakkan pendarahan selepas bersalin, menjarakkan kelahiran kerana penyusuan merupakan cara perancang keluarga semulajadi, mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut. (yang ni yang seronok nih, hehehe)

Penyusuan susu ibu juga akan menjimatkan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan, tidak perlu membeli susu formula dan mengurangkan perbelanjaan. Katakan anda memilih untuk membeli pam pemerah susu yang mahal, kos pembelian itu masih murah dibandingkan dengan kos untuk susu formula yang perlu dibeli setiap bulan.

Pam yang menggunakan bateri walaupun berharga lebih kurang RM200, boleh digunakan sehingga dua atau tiga tahun. Jika susu formula, setin berharga lebih kurang RM30. Berapa jumlahnya sebulan? Berapa yang boleh dijimatkan dalam setahun? Selain itu, penyusuan susu ibu juga membantu mengeratkan kasih sayang antara anak dan ibu, lebih masa terluang bersama keluarga, dan menyumbang kepada objektif negara dalam perancangan keluarga.

KEKURANGAN SUSU FORMULA

Antara kekurangan ketara susu formula ialah khasiatnya tidak akan sama dengan khasiat susu ibu walaupun pelbagai zat tambahan dimasukkan seperti Omega3, Docosahexanoic (DHA), Arachidonic acid (AA), dan vitamin B12.

Masih tidak ada kajian yang boleh menentukan kadar sebenar sesuatu zat yang diperlukan oleh bayi. Berbeza dengan susu ibu, kandungan zatnya akan berubah mengikut keperluan.

Zat-zat tambahan dalam susu formula juga membawa kesan sampingan lain seperti protein, walaupun ia telah diubah tetapi masih sukar dihadam manakala zat besi pula sukar untuk diserap, katanya.

Bayi yang diberikan susu formula juga terdedah kepada pencemaran bakteria apabila air bancuhan, peralatan botol dan puting tidak dibersihkan dengan sempurna. Bakteria membiak dengan cepat terutamanya jika susu dibiarkan dalam cuaca panas. Walaupun belum berbau masam atau basi, ia masih boleh membahayakan bayi.

Bayi juga tidak mendapat perlindungan daripada pelbagai penyakit kerana susu formula tidak mengandungi antibodi menyebabkan bayi yang diberi susu formula lebih kerap mendapat jangkitan penyakit seperti cirit-birit, demam, selesema, batuk dan alahan walaupun susunya dibuat secara bersih.

Terdapat juga risiko kekurangan zat makanan jika susu dibancuh terlalu cair ataupun jika dibancuh terlalu pekat, ia boleh mengakibatkan sembelit atau kerosakan pada organ tertentu. Sebab itu kita melihat ramai bayi yang mengalami kegemukan, mereka mendapat lebih zat daripada sepatutnya. Berbeza dengan susu ibu, susu formula juga tidak mengandungi enzim. Ini melambatkan penghadaman dan menyukarkan tenaga dibekalkan kepada bayi.

p/s : Teruskan BF anak anda yer :) bagi yang tak dapat, mungkin ada hikmahnya... Allah lebih mengetahui...

1 comment:

armouris said...

lagi info tentang penyusuan bayi di SIHAT SELALU - Masalah Penyusuan Bayi